Salam pertemuan buat semua tetamu Warisan AR.
Agak lama juga aku tak ke udara. Banyak peristiwa yang berlaku semasa aku pulang ke Pahang tempohari. Ada suka dan duka. Keadaan ibu mertuaku Alhamdulillah telah beransur baik. Yang mendukacitakan, aku tak dapat menunaikan janji untuk membekalkan induk kepada Tn Haji Rashid dari Muar. Beliau yang datang dari jauh begitu keciwa dan tidak dapat menerima kemaafan yang aku pohon. Perkara yang berlaku adalah diluar dari kuasa aku.
Induk yang dijanjikan telah 'lesap' dari simpanan disebabkan kelalaian adik iparku. Beliau terlupa untuk menutup kembali bekas simpanan induk lintah yang beliau buka. Bila aku bangun keesokkan harinya, dari 3,500 induk yang sepatutnya ada hanya 412 ekor sahaja lagi yang tinggal. Apa boleh buat sudah tiada rezeki aku.
Kesempatan yang ada aku gunakan untuk meninjau keadaan kawasan paya di Pahang. Luas sungguh rupanya aya di sana. Keadaan kemarau yang sedang melanda telah menyebabkan paya yang luas terbentang berkeadaan kering-kontang. Amat sukar sekali mendapatkan induk lintah di sana pada waktu ini. Keadaan ini juga rasanya telah menyebabkan bekalan induk lintah begitu kritikal sekali di seluruh negara. Harga induk dan benih lintah juga telah naik melambung. Pencari lintah juga telah mengambil kesempatan ini dengan 'demand' harga untuk pembekalan. Aku rasa keadaan ini akan berlarutan sehingga bulan April nanti.
Musim kemarau ini juga membuatkan aku terpaksa menukar strategi pengurusan kolam. Takat air terpaksa ditambah bagi mengimbangi keadaan cuaca yang begitu panas. Namun aku bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana kolam ternakan terletak di bawah pokok. Oleh itu bahang kepanasan matahari agak berkurangan.
Hari ini kolam ternakan aku telah menerima kunjungan Kak Ani dan saudara dari Kodiang, Kedah dan Saudara Man dari Kepala Batas, Pulau Pinang. Aku bersyukur kerana begitu ramai individu yang berminat untuk mendalami ilmu ternakan lintah dan tunjukajar dari aku yang serba kekurangan ini. Masih banyak lagi yang aku perlu belajar, namun aku bersyukur dan berbesar hati kerana dapat mencurahkan sedikit ilmu yang ada untuk dikongsi bersama.
Bagi yang ingin mendapatkan bekalan induk, aku memohon maaf kerana tidak dapat berjanji. Aku bimbang tidak dapat memenuhi permintaan dan yang paling aku bimbang bila ada yang keciwa dan melemparkan kata nista terhadap sesama insan yang lemah ini. Jika ada bekalan akan aku maklumkan. Harap bersabar dan tidak ada pihak yang merasa keciwa.
Jumpa lagi besok. Insyaallah.
IKLAN
Selasa, 26 Februari 2008
Pelbagai Peristiwa Semasa Di Pahang
Posted by ajet66@det at 10:15 PTG
Labels: induk lintah., janji, kursus lintah, tetamu kolam lintah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan