Penternakan Lintah Mampu Bawa Pulangan Lumayan: Pakar
March 25, 2008 15:39 PM
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Usaha menternak lintah secara komersil untuk tujuan perubatan masih belum dieksploitasi sepenuhnya di negara ini, walau pun ia berpotensi menjana pendapatan baru, kata seorang penyelidik haiwan itu.
Pensyarah Kanan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu Dr Zaleha Kassim berkata peluang seperti itu perlu direbut kerana kerajaan melalui Yayasan Tekun Nasional (Tekun) di bawah program Tekun Rakan Niaga dan Bank Pertanian bersedia membantu mereka yang berminat menceburi industri itu.
"Walau pun ramai orang tidak senang mendengar perkataan lintah atau pun untuk mendekatinya, penternakan haiwan dari kelompok filum Annelida dalam subkelas Hirudinea itu sebenarnya mampu membawa pulangan yang lumayan jika diusahakan secara komersil," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Bayangkan pulangan yang boleh didapati dengan harga ladang seekor lintah induk boleh mencecah RM1.80-RM2 manakala harga seekor anak lintah pula di antara RM0.50 hingga RM1 seekor, katanya.
Dr Zaleha berkata minat untuk menternak lintah secara komersil mula timbul di negara ini sejak dua tahun lepas berikutan wujud permintaan terhadap haiwan itu apabila beberapa syarikat mengusahakan perniagaan perubatan berasaskan lintah.
Sebelum ini, permintaan terhadap haiwan itu adalah kecil walaupun bidang perubatan berasaskan lintah telah wujud sejak 20 tahun lepas apabila pengamal perubatan tradisional menggunakan haiwan itu bagi rawatan berkaitan kesihatan seksual lelaki di kaki lima kedai.
Katanya lintah telah lama digunakan dalam rawatan kesihatan di negara ini yang menyaksikan haiwan itu diadun dengan santan kelapa bagi mendapatkan minyaknya yang digunakan untuk kesihatan seksual lelaki selain membaik pulih tisu dan memperkuatkan otot.
"Penternakan lintah ada potensi yang baik cuma tidak dieksploitasi memandangkan harga pasaran pun baik dan penternakannya mudah dikendalikan," katanya.
Dr Zaleha menjelaskan bahawa di negara-negara Barat seperti Britain, Jerman dan Rusia di mana lintah dipelihara untuk tujuan khusus, hasil penyelidikan yang lama telah membolehkan lintah digunakan dalam perubatan moden dan berjaya menghasilkan produk siap seperti pil berkaitan sakit jantung yang dipasarkan kepada umum.
"Di sana, lintah juga turut diternak di hospital untuk tujuan perubatan terutama bagi masalah kesihatan berkaitan bahagian yang sensitif seperti bahagian kepala, belakang mata atau telinga yang memerlukan pembedahan, lintah hidup digunakan untuk menghisap darah pesakit dan kemudiannya darah itu dikeluarkan untuk dianalisis mengenai penyakit yang mungkin dihidapi oleh pesakit itu," katanya.
"Di negara Barat, nilai perubatan berasaskan lintah sudah dipatenkan dan dikomersilkan , tetapi di Malaysia kita belum lagi sampai ke tahap itu...sebab itu penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang luas diperlukan," kata Dr Zaleha yang sudah dua tahun membuat penyelidikan mengenai lintah.
Katanya kini terdapat kira-kira tiga atau empat syarikat yang terlibat dalam mengeluarkan minyak berasaskan lintah untuk tujuan kesihatan.
"Jika diusahakan dengan lebih serius, kita boleh membangunkan industri hiliran berasaskan lintah dan membawa penternakan lintah maju ke depan yang boleh membantu dari segi pendapatan sampingan mahu pun sumber pendapatan baru," katanya.
Khasiat kesihatan dalam lintah terdapat pada apa yang dipanggil "Hirudin", sejenis protein yang berfungsi menghalang pembekuan darah, yang terdapat dalam air liur lintah.
Dr Zaleha berkata penternakan lintah amat mudah dikendalikan dengan jagaan minimum seperti memelihara ikan dalam akuarium, sama ada di luar bangunan (kolam konkrit atau kolam tanah) atau dalam bangunan (tangki gelas serat, tangki akuarium atau tangki lain yang sesuai) yang didapati lebih mudah.
Makanannya pula adalah darah mamalia seperti darah daging lembu atau kambing yang diberikan setiap seminggu atau setiap dua minggu dan biasanya ia cepat membiak melalui sumber makanan ini, kata Dr Zaleha.
Katanya lintah yang hidup dan diternak di Malaysia mungkin tidak sama dengan yang terdapat di negara Barat dan kajian setakat ini menunjukkan terdapat enam jenis lintah di Malaysia.
Anak lintah yang boleh dijual biasanya berumur dua hingga tiga bulan manakala lintah induk pula enam bulan ke atas.
Dr Zaleha juga berkata bahan yang terdapat dalam lintah juga boleh digunakan untuk mengeluarkan produk kosmetik dan industri ini wujud antaranya di negara China, Thailand dan kini di Korea Selatan.
"Krim yang dibuat berasaskan lintah turut digunakan untuk menegangkan kulit dan membaiki parut," katanya.
Memandangkan minat yang semakin meningkat, Dr Zaleha berkata beliau kini dijemput memberikan ceramah dalam kursus ternakan lintah secara komersil di beberapa buah negeri seperti Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.
Katanya beliau diberitahu kini ada syarikat Malaysia yang terlibat dengan perniagaan lintah telah mendapat permintaan dari luar negara tetapi jika dihantar lintah hidup ia perlu dipastikan spesisnya dan validasi kesihatan lintah selaras dengan keperluan dan peraturan negara pengimport.
-- BERNAMA
IKLAN
Khamis, 8 Mei 2008
Apa Kata Pakar?
Posted by ajet66@det at 12:33 PTG
Labels: eksport lintah, pakar lintah, ternak lintah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Salam En.Mahadzir, tahniah kerana telah berjaya dalam bidang peternakan lintah ini. Tidakkah En.Mahadzir terfikir untuk share dengan orang mengenai ilmu-ilmu peternakan lintah ini? Maksudnya, jika En.Mahadzir sudi berkongsi ilmu mengenai lintah ini, saya mahu jadikanya satu ebook (electronic book).
Kalau En.Mahadzir sudi berkongsi di bawah ni saya letakkan email dan YM saya..
Email: oligococoa@yahoo.com
YM: oligococoa
W'salam. Penghasilan ebook yg berkualiti memerlukan kajian yang rapi serta mengambil masa. Walaubagaimanapun langkah awal sudah dimulakan. Insyaallah.
Catat Ulasan