INGINKAN MAKLUMAT LANJUT KLIK DISINI

IKLAN

_________________________________________________________________________
TINGKATKAN KELAKIAN ANDA DENGAN MINYAK LINTAH JAGUH KANDA


Selasa, 6 Mei 2008

Dikecam kerana menternak lintah

Salam buat pengunjung Warisan AR. Sudah agak lama juga aku tidak menulis. Kesibukan membataskan aku untuk ke udara di dunia siber yang terbuka luas ini. Kesempatan yang sedikit ini aku gunakan untuk berkongsi satu lagi kisah kejayaan insan yang tidak mudah berputus asa. Aku rasa ramai juga penternak lintah yang pernah melalui kisah yang bakal aku kongsikan ini. Mungkin ada yang pernah membacanya, namun aku paparkan untuk renungan buat yang belum menatapnya terutama kepada bakal penternak lintah.


Kecaman yang diterima kerana menternak lintah tidak mematahkan semangat keluarga Mohd. Yusof untuk meneruskan bisnes yang menguntungkan ini. Wartawan JOHANNA A. SOBREY dan jurufoto, MOHD FARIZWAN HASBULLAH melaporkan.




MENDEKATI salah sebuah daripada 12 buah kolam yang terdapat di Kampung Lubuk Kelubi, Hulu Langat, Selangor, tiada yang istimewa. Kolam yang dijengah kelihatan sama seperti kolam ternakan lain.

Saya dapat melihat sederet kolam yang tenang dengan pokok keladi bunting terapung menghiasinya pada waktu mentari terik memancar dari langit membiru.

Dengan menggunakan sebatang kayu, pemilik kolam ternakan ini, Nurulhuda Mohd. Yusof, 29, mengocak-gocak air di kolam tersebut.

Umpama dikejutkan daripada tidur, dengan serta merta, saya ternampak 'reben-reben' hitam yang halus timbul dari bahagian dasar air kolam yang cetek. 'Reben-reben' hitam ini juga muncul dari bawah pokok keladi bunting dan kemudiannya bergerak menuju ke bahagian air yang diusik.

"Itulah salah satu sifat lintah. Ia akan menyembunyikan diri daripada cuaca panas dengan mencari ruang-ruang sejuk untuk berteduh. Tetapi, apabila air diusik, haiwan ini akan keluar.

"Mungkin kerana ia merasakan ada 'mangsa' atau makanan di tempat yang diusik itu," kata Nurulhuda yang ditemui di ladang lintah milik keluarganya, Lintah Agro Farm baru-baru ini.


NURULHUDA memasukkan lintah ke dalam balang plastik.


Tambah beliau, lintah akan menjadi aktif ketika waktu sejuk dan ada kalanya beberapa ekor lintah dalam setiap kolam akan memanjat sehingga ke bahagian luar kolam yang dilapik dengan tarpaulin.

Oleh kerana sukar mengumpulkan beberapa ekor lintah dengan menggunakan sauk, Nurulhuda yang lengkap berpakaian lengan panjang dan seluar panjang serta but getah sebagai perlindungan, dengan tenang memasuki kawasan kolam.

Serentak itu juga, lebih banyak lintah keluar dari tempat persembunyian sekali gus mengerumuni but yang dipakai oleh Nurulhuda.

Tanpa berlengah, Nurulhuda mencekup lintah-lintah tersebut dan meletakkannya ke dalam bekas plastik yang berisi air. Ketika itu juga, kedengaran suara ayah beliau, Mohd. Yusof Man, 57, yang turut berada di kolam ini memberitahu anaknya mengenai bahagian-bahagian kasut dan seluar Nurulhuda yang dihinggap lintah.

"Sebut sahaja lintah, pasti ramai yang akan berasa geli dan ketakutan. Namun, bagi saya, haiwan yang dianggap hodoh oleh segelintir orang itu mempunyai manfaat yang besar kepada kehidupan. Sebab itulah, kami sekeluarga menternaknya.

"Selain itu, tiada apa yang perlu ditakutkan kerana haiwan ini akan mengeluarkan darah kotor serta mencairkan darah beku dan ini baik untuk kesihatan," katanya yang juga bekerja sebagai pelukis pelan di Klang, Selangor.

Mengenai cabaran yang dihadapi, katanya, mereka sekeluarga pernah dikecam oleh masyarakat sekitar kerana menternak lintah yang dianggap hodoh dan menggelikan.

Namun, setiap kecaman itu disambut dengan tekad untuk membuktikan bahawa ternakan lintah ini boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan.

Mengulas lanjut, Nurulhuda memberitahu, lintah yang diternak oleh keluargnya ialah Lintah Asia atau lebih dikenali sebagai Lintah Bendang.

Pada suatu ketika dahulu, lintah menjadi antara alat perubatan alternatif yang menjadi tumpuan masyarakat dunia termasuk Mesir, Yunani, India dan juga Eropah.


MOHD YUSOF MAN


Yakin dan percaya kemujarabannya, pakar perubatan memberikan rawatan lintah untuk pelbagai bentuk penyakit, daripada sakit kepala, mata sehinggalah masalah mental.

Namun demikian, menjelang tahun 1960-an, ia tidak lagi digemari dan telah dilupakan sehinggalah tahun 1980-an apabila kaedah rawatan menggunakan lintah 'dihidupkan' semula di Barat, dengan kewujudan mikrosurgeri.

Hidupan yang seumpama reben hitam ini amat berguna untuk pembedahan plastik dan rekonstruktif kerana keupayaannya menghisap darah yang banyak, menghindarkan gumpalan darah dan membantu mengekalkan tisu terus hidup.

Bagi Nurulhuda dan keluarganya, ternakan lintah yang diusahakan ini bermula sejak Februari tahun lalu.

Ilham untuk menternak lintah muncul selepas menyertai kursus yang dikendalikan oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang bioteknologi pertanian dan penternakan.

"Kami sering mencari peluang perniagaan yang boleh dilakukan oleh seluruh keluarga. Jadi, kami kerap menyertai kursus-kursus pertanian yang diadakan sama ada ternakan lembu dan kambing atau menanam cendawan.

"Akhirnya, kami merasakan ternakan lintah adalah yang paling sesuai.


NURULHUDA MOHD YUSOF


"Ini kerana dengan keluasan tanah kira-kira satu ekar suku, kami boleh membina 12 buah kolam sebesar 7.9 meter x 18 meter dan menternak lintah secara semula jadi dengan penjagaan yang ringkas. Haiwan ini mudah diberi makan dan tahan lasak terhadap penyakit," katanya.

Menggunakan tanah kebun getah milik warisan keluarga Mohd. Yusof, mereka lima beranak kini berganding bahu membangunkan perniagaan daripada peringkat awal hinggalah hari ini.

"Kami sekeluarga bekerjasama dalam melakukan kerja-kerja berkaitan ternakan lintah seperti mengikuti kursus mahupun ke negeri lain untuk melihat sendiri bagaimana ternakan lintah dilakukan di sana.

"Bagi kami, ilmu penternakan harus sentiasa diperbaharui dan sanggup berkongsi pengalaman yang ditimba dengan mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini.

"Ilmu merupakan daya pecut yang penting untuk menuju kejayaan dalam membangunkan perniagaan ini," kata Nurulhuda.

Bukan sekadar mengembara ke negeri lain dan mendekati penternak lintah yang lain, ahli-ahli keluarga ini juga rajin melayari internet untuk mendapatkan maklumat terkini.

Dengan modal yang mencecah RM100,000, keluarga ini membersihkan sendiri tanah, menternak dan mengumpul lintah untuk dijual.

"Seperti yang dikatakan tadi, ternakan lintah amat mudah kerana penyelenggaraannya tidak sukar dan ia akan diberi makan belut seminggu sekali.

"Pada bulan pertama, sebanyak 10 kilogram belut dibekalkan untuk setiap kolam dan jumlah itu bertambah satu kilogram setiap bulan sehingga bulan keenam.

"Lintah juga diberikan suplemen agar ia sihat," jelas Nurulhuda yang memaklumkan bahawa lintah boleh dituai dalam masa empat hingga enam bulan.

Katanya, penuaian dilakukan dua kali setahun pada sebelah pagi dan petang.


RAWATAN alternatif menggunakan lintah.


"Apabila lintah mencecah tahap matang, ia akan dituai dan hasilnya dibekalkan kepada penternak baru, mereka yang membuka perniagaan rawatan alternatif seperti bekam dan peniaga yang membuat minyak lintah.

"Selain itu, Lintah Agro Farm juga membekalkan lintah kepada individu persendirian yang mahukan haiwan ini untuk diri mereka," kata Nurulhuda.

Katanya lagi: "Pada masa ini, permintaan terhadap lintah amat tinggi dan ada permintaan yang melibatkan penghantaran sebanyak satu hingga tiga tan lintah dalam sebulan.

"Memandangkan kami tidak dapat memenuhi permintaan itu, jumlah lintah ditambah dengan 'mengimport'nya daripada rakan kami yang turut melakukan perniagaan yang sama di Terengganu, Kelantan dan Perak."

Nurulhuda berkata, harga lintah bergantung pada saiz dan jumlah yang dibekalkan.

"Biasanya, ia dijual pada harga RM1.50 atau RM2.00 seekor," ujarnya.

Menariknya tentang lintah, kata Nurulhuda, sebanyak 200 ekor lintah boleh menghasilkan kira-kira 10,000 anak lintah dan Lintah Agro meletakkan 1,000 ekor induk lintah dalam setiap kolam.

Katanya, lintah merupakan haiwan hermafrodit yang mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina.

Namun untuk mengawan, ia masih memerlukan dua ekor lintah yang melekat di antara satu sama lain untuk mengeluarkan sperma dalam kawasan organ betina..



ps: Petikan dari Akhbar Kosmo

Tiada ulasan:

Kirimkan Maklumbalas Dan Komen Anda

Name:
Email Address:

This HTML form was created by Freedback.
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.