INGINKAN MAKLUMAT LANJUT KLIK DISINI

IKLAN

_________________________________________________________________________
TINGKATKAN KELAKIAN ANDA DENGAN MINYAK LINTAH JAGUH KANDA


Ahad, 28 Julai 2013

Cerpen Lelaki Lintah

Posting kali ini sekadar berkongsi cerpen yang aku rasakan perlu dihayati bersama sebagai panduan yang berguna buat kita semua...Baca dan hayatilah......

Pagi Ahad ni agak berlainan dari biasa. Sakit gigiku masih belum pulih sepenuhnya. Sisa-sisa kesakitannya masih terasa. Pada kebiasaannya pagi minggu seperti ini aku dah turun awal melawat kolam dan ternakan aku.
HIRUDO medicinalis yang berukuran sebesar ibu jari mengeliat beberapa ketika sebelum muncungnya yang menguak kuncup seperti mulut membentuk huruf O kecil yang kekelabuan dengan amat perlahan sekali, ia lalu merecup amat perlahan ke rongga kulit. Muncung yang berkemut-kemut serta lembut itu melekap perlahan-lahan setelah beberapa kali melekap menghidu bau darah. Berlekit dan mengeluarkan lendir peptide hirudin berwarna putih kelabu nipis persis air lokan. Pergerakannya yang cukup berhati-hati itu seperti menekan dengan kejap rongga kulit seperti hendak menegangkan sekeliling kedut kulit yang ditekap muncungnya yang sentiasa bergerak lembut itu. Pergerakannya diperhatikan penuh minat Desai yang sudah rasi dan lali dengan perlakuan spesies tersebut.
Desai membiarkan terus recupan demi recupan muncung spesies tersebut mengacah-acah di lengannya yang dipenuhi bulu-bulu lebat yang ikal serta sedikit kekuningan. Dia seperti mengulum sesuatu di mulutnya sebelum memerhati sekeliling ruang makmal yang serba sofikated bercat putih bersih itu. Sesekali lingasan matanya merenung jauh peralatan serba canggih di hadapannya dengan penuh sayu dan bisu. Ada kerutan berselirat menganak di dahi lelaki itu. Kerutan antara tepi kelopak matanya yang ketara letihnya.
Desai sedar, bukan mudah untuk menganalisis serta memperincikan apa yang pernah bergelut dalam alur fikirannya ketika itu. Kalau diturutkan hatinya, mahu saja dia meletak jawatan yang disandangnya sejak sekian lama itu dan merajuk ke luar negara yang sebelum ini terpaksa ditolaknya dengan alasan setereotaip, dia mahu berkhidmat di negaranya sendiri. Dia mahu menjadi marga yang cintakan tanah tumpah darahnya. Menjadi seorang yang berwawasan untuk memajukan negaranya. Beberapa peluang tawaran yang datang kepadanya tidak kira dari syarikat gergasi luar negara atau negara-negara Asean terpaksa difikirkannya berulang-ulang kali demi menjaga hati dan perasaan bangsanya sendiri. Demi melihat ilmu yang diceduknya sekian lama untuk marga Malaysia. Bukan untuk marga asing. Tetapi apa yang dia dapat sekarang? Apa yang telah mengiktirafkan perkhidmatannya selama ini? Busut kekesalan bergelut dalam dirinya.
Dia menjadi parasit yang menyerupai persis spesies karnivora itu. Dia seperti penjelmaan spesies yang lali dan rasi dengan ketololan peribadinya sebelum ini. Mengembirakan orang lain, tetapi tidak dirinya. Walhal untuk merealisasikan apa yang dipelajarinya selama ini memang amat jarang diceburi generasi muda. Bidang pengkhususan bio-kajian lintah untuk tujuan perubatan. Sehingga keluarganya berasa jijik dengan profesionnya. Malah gelar lelaki lintah seperti menancap dan mengasak di pendengarannya. Namun gelar itu menjadi bahan lelucon yang menghiburkan duka laranya. Gelar yang menitipkan rasa bersalahnya pada dirinya kini.
-Belajar tinggi-tinggi, tup-tup jadi penjelmaan lelaki lintah.- Tirus luncuran kalimat itu seperti rejatan arus letrik seribu voltan menyeringainya. Rejatan arus yang terus menganakbiak dalam naluri peribadinya. Malah seorang perempuan yang membuat dia menjadi perindu sekurun lalu sudah mengecapi detik manis untuk lelaki lain. Lelaki yang gelarnya seorang yang berhormat. Kertika, seorang pakar komputer membiaskan perbandingan yang cukup ketara sekali, bahawa kerjaya mereka satu evolusi yang tidak menciptakan padanan. Tidak membentuk rasi yang kontras seadanya. Semua itu seperti biasan kerjayanya. Namun minatnya yang mendalam terhadap spesies tersebut mengajarnya erti kesabaran, bahawa jika dia tidak memotivasikan dirinya untuk meletakkan lintah sebagai ikon dunia perubatan siapa lagi? Dan dia merelakan haba tangan perempuan itu mencari destinasi lain dan dia terus menumpukan apa yang menjadi minatnya sejak dulu lagi. Meskipun getaran jiwa halusnya mersik dalam kegundahan yang maha kronik.
Menjadi lelaki lintah? Menyedut darah bangsanya sendiri untuk kepentingan pihak tertentu. Dan darah yang disedutnya, bukan darah lelaki yang perannya CEO, tetapi darah orang-orang kecil yang segar bugar. Darah orang-orang kecil yang keliru dan bisu dalam paksa dengan apa saja yang dituturkan lidah beracun mereka dengan pelbagai tipu muslihat demi sebuah kemajuan yang sebenarnya sekadar maju akan tetapi cuba membunuh secara perlahan-lahan kelompok orang-orang kecil itu. Membunuh dengan cukup profesional sekali tanpa dapat dihidu hatta pihak CIA sekalipun. Betapa liciknya tipu muslihat itu tanpa setahu orang-orang kecil itu sendiri. Apatah lagi rasukan pemikiran licik persis Poulwolfowitz parasit bank dunia terus memasungi rongga minda mereka tanpa dapat dikemaskini dengan perisian nilai kemanusian mutlak. Semua itu seperti tayangan sinetron berputar dan berputar tanpa berhenti membiaskan kehalobaan lelaki-lelaki yang gelar perannya bernama lintah.
Memang sudah menjadi resam manusia agaknya? Desai membiarkan jeda kalimat itu bergelut dan terus bergelut dalam dirinya kini. Lekit-lekit Peptide Hirudin pada tubuh lintah itu berkemut-kemut dalam dirinya kini. Dia seperti tidak mengerti mengapa orang-orang yang dilebelkan sebagai lelaki yang berperan CEO itu tegar tanpa memikirkan untuk melakukan perkara yang melanggar etika kemanusiaan yang semakin hari semakin leper dan kurus itu, semua itu mula mengendur posisinya bila congakan ringgit menjadi penghasut nombor satu serta drastik, lalu menjerat minda mereka yang gelarnya cukup gah dan profesional dan dia sendiri pernah melihat kerlingan lelaki-lelaki itu seperti penjelmaan selonggok lintah-lintah yang selalu dikajinya di makmal sejak beberapa tahun.
-Awak jangan hikforit, Desai. Hidup ini kena ada inisiatif yang kontras, kalau tak, awak akan lembik seperti parasit itu!- Bersitan itu seperti mengarus dalam pembuluh darahnya. Kalimat itu tidak sepatutnya terkeluar daripada seorang peran CEO yang dihormatinya. Seorang CEO yang cukup dikagumi kewibawaannya dalam bidang yang berkaitan dengan bioteknologi sumber yang berperanan mengambil fauna sebagai subjeknya. Lelaki separuh abad itu seperti menampakkan taring drakulanya, siap siaga untuk menghirup manisnya darah sesiapa saja yang perannya orang-orang kecil. Malah dahinya yang mula nipis dengan rambut itu seperti raut drakula, cuma taringnya tersisip kemas dalam senyuman yang cukup mesra dan manis itu tetapi penuh muslihat, malah bayangannya persis seperti kelibat seekor Medusa.
-Tapi tuan, bukankah kita harus membela nasib orang-orang kecil itu daripada terus kebuluran dan kemiskinan? Kalau bukan kita yang membela nasib mereka siapa lagi, tuan- Desai melihat kuluman mulut yang nipis itu menjuih ke depan, seraya bulat mata bundarnya yang sedikit cerlang dalam bingkai cermin mata berbingkai emas putih itu tertancap ke dalam anak matanya. Kelipan anak mata yang membulat itu seperti mula menirus dan meruncing lalu tertancap ke dalam matanya. Desai berasa ada kesakitan yang mula menjalar dan merayap dalam kelopak matanya. Di hatinya berdetik, mengapa lelaki yang sudah sekian lama dikenalinya itu mula menjelma menjadi lintah. Spesies yang tidak pernah berasa puas dengan harum segar darah manusia serta tidak mudah kenyang dengan hirupan darah. Malah tidak pernah kenyang-kenyang dengan boyoton perut yang dipenuhi lohong darah, tetapi masih tetap berselera lagi. Selera yang sukar dibendung oleh sesiapa saja dalam conggakan ringgit yang mengganas dengan rakus dan lahap mempengaruhi diri.
-Untuk apa, Desai? Bukankah apa yang kita kutip selama ini mengajar kita lebih positif dengan apa yang pernah kita kejar di luar negara. Ph.D, Ir, semua itu ikon yang kita pertahankan dengan kewajaran. Jangan jadi kaduk lagi, Desai. Kita sudah lama merdeka, sepatutnya kita harus memerdekakan pemikiran kita terus ke picu intelektualisme.- Jaringan kalimat yang terpacul dari bibir lelaki yang berperan CEO di hadapannya ditelannya dengan perlahan dan dia berasa seperti ada rekahan di kerongkongnya. Namun kalimat itu terus mengaum dalam pembuluh darah hingga susuk tubuhnya berasa membahang. Dia merenung terus lelaki di hadapannya.
Desai seperti tersedak bila apa yang didengar tadi seperti memberitahu, bahawa orang-orang kecil harus menerima apa saja perlakuan orang-orang besar dalam apa juga bidang. Peran orang-orang besar harus menjadi sebesarnya, bukan menjadi kecil. Seperti lintah, bila muncungnya yang lembut itu mula menyedut hamis darah segar dan pembuluh perutnya mula mengembung dan membusut seperti belon. Seperti itukah lelaki yang berperan CEO itu? Kasihan hati budi mereka mula sirna dalam menjadikan dirinya seperti lintah. Lintah yang tidak pernah mengenal erti kekenyangan. Tetapi sampai bila kelahapan dan kerakusan itu berlarutan? Sehingga semua orang-orang kecil pupus? Sampai alam ini disarati dengan lohong dan bau mayat seperti terjahan tsunami?
Desai merenung penuh minat muncung lintah di lengannya. Spesies yang sudah sebati dengan apa yang pernah digelutinya sekian lama. Kalau tidak kerana lintah, dia tidak mungkin mendapat gelar yang amat jarang sekali dikecapi orang lain. Gelar seorang sainitis yang arif dan pakar dalam pengkhususan lintah dalam dunia bio-perubatan. Dia seperti digamit kembali dalam dirinya tentang kehidupan kedua-dua orang tuanya yang masih bergelut dengan tanah sawah beberapa relung di pinggiran desa yang masih terpisah jauh dalam rongga pembangunan dan kemajuan.
Desai seperti melihat semula betis dan lengan kedua-dua orangnya digeluti beberapa ekor lintah yang pada mulanya mengecil dan perlahan-lahan membesar. Membuncit bila ususnya yang lembut itu mula mengembung dalam garisan tubuhnya yang bergetaran itu. Herotan muncungnya sesekali dia seperti terikut-ikut pelakuannya. Dan lelaki yang bergelar ayah akan mengambil parang yang tersisip di pinggangnya, dia lalu mengikis perlahan muncung lintah yang melekap seperti gam yang liut itu. Untuk beberapa ketika lintah-lintah itu tidak mudah melonggarkan muncungnya, tetapi dengan ketelitian orang tuanya cekupan muncung lintah itu terjatuh dari betis mereka meninggalkan gigitan kecil yang masih mengalir titik darah merah. Getaran tangan yang sedikit tergigil itu memungutnya, lalu diletakkan di dalam bekas tin sardin dan ketika berehat nanti pasti lintah-lintah tersebut akan mengelupur bila tubuhnya terkena abu dapur kayu.
Semua itu seperti mengacah-acah dalam kemelut mindanya. Kenangan itu seperti hirisan sendu meredup dalam dirinya kini. Kedua-dua orang tuanya yang terlantar jauh di rongga desa, sedangkan dia bergelumang dengan orang-orang besar dalam gelar perannya CEO dengan penuh kemunafikan. Peran CEO yang penuh muslihat untuk mengumpul kelabaan tanpa jeda dan noktah, meskipun apa yang dirancangkan untuk arus pembangunan telah menjerumuskan orang-orang kecil ke rahang kemiskinan dan kehilangan ketuanan di tanah sendiri. Orang-orang kecil yang kecil tahap pemikiran mereka diumpan dengan janji bersalut ringgit yang tidak pernah mereka miliki sebelum ini. Mata mereka yang hijau dengan redup pemandangan hutan dalam kepul zat kesegaran mula bertukar warna kekelabuan, menandakan mereka bakal menempah musim duka untuk hari-hari mendatang. Mereka yang bakal menyedut dupa kemiskinan maha tragis dalam kepompong kehidupan yang dipenuhi virus kematian.
Di manakah dia dapat menemui jalan pulang nanti? Sedangkan setiap musim perayaan dia bersama mereka, itu pun hanya beberapa hari saja sebelum menyambung penyelidikannya yang menuntut sarat tanggunggjawab itu. Sarat tanggungjawab asas bioteknologi tanpa batasan. Sumber bioteknologi yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin demi memberi idealisme serta tahap pemikiran yang terarah serta terancang dalam menangani arus kemajuan globalisasi. Semua itu terus menyarat dalam relung mindanya. Semuanya menyendat dan mengasak tanpa jeda. Adakah semua itu berbaloi? Desai menyoal dirinya. Namun untuk menidakkan semua itu, dia tidak mampu bersuara kerana asal gelarnya juga bermula dari peran orang-orang kecil yang dikudisi virus kemiskinan. Namun kedua-dua orang tuanya bergadai tanah demi sarat tanggungjawab untuk dunia pelajarannya.
Memang benarlah agaknya manusia begitu mudah menjelma menjadi lintah barangkali? Gumaman itu seperti menirus dalam diri. Namun untuk menidakkan apa berlaku di hadapannya bukan penjelmaan lintah sembarangan, tetapi beberapa ekor parasit yang serba intelektual. Parasit yang berperan seperti lelaki. Apa yang pasti, dia harus memastikan dirinya bukan penjelmaan lintah-lintah tersebut. Bukan. Desai mengusap lengannya yang mula mengeluarkan bintik-bintik kecil itu. Ada kelembung kecil bekas gigitan sejurus tadi, persis hirupan drakula. Itu barangkali, gumamnya.
Seusai tugas Desai bergegas pulang ke rumah dalam kebinggungan. Dan malam itu Desai gelisah sepanjang malam bila memikirkan apa yang bercempera dalam dirinya kini. Acapkali dia memejamkan kelopak matanya di ruang bilik yang cukup besar dan mewah itu, dan dia berasa seperti ada beberapa ekor lintah menyelinap bergelut dalam dirinya. Bila dia bangun dan membuka lampu seraya melihat katilnya, tidak seekor pun parasit itu ada. Dia berbaring semula.
Namun Desai tersedar, dia berasa dalam kerumunan lintah-lintah pelbagai spesies di dalam selimutnya. Yang merah, yang biru, yang hijau, yang kelabu, malah semua warna ada. Desai bergegas menuju ke cermin. Dia tergamam dan terpaku. Lidahnya seperti ada ketulan batu yang menyekat dan membongkah di kerongkongnya. Desai meramas berlahan-lahan wajahnya yang dia sendiri tidak tahu kenapa dia menjelma seperti lelaki lintah. Bila dia cuba merecupkan mulut, muncungnya seiras muncung lintah. Dia melihat daun telinganya yang mula mengecil perlahan-lahan dan sirna. Dia melihat lehernya mula setara dengan kepalanya. Bonggol-bonggol lembut mula berselirat di lehernya. Keningnya yang tebal mula mengecil. Dia mengemutkan kedua-dua kelopak bibirnya yang mula mengecurkan lendir peptide hirudin. Matanya terpaku bila perlakuannya tadi menyerupai seperti muncung lintah. Bezanya kecil dan besar kuncupan tersebut. Desai berundur, mungkin apa yang berlaku hanya khayalannya. Gumaman itu terus bergelut dalam dirinya.
Tangannya meramas dengan tergetar-getar perubahan pada dirinya. Dia seperti terpaku dengan pantulan dari cermin di hadapannya. Persis seekor lintah yang besar tegak di hadapannya. Memang untuk menafikan dia hanya direntasi fantasia illusi diri tidak masuk akal. Bukan dia tidak ingat sejurus tadi, dia bangun kerana terganggu apabila teringat ratusan lintah mengerumuninya. Tup-tup ketika ini, dia seperti penjelmaan seekor lintah yang memboyot perutnya. Seekor parasit hirudo medicinalis yang maha gemuk sekali. Entah berapa ratus liter darah segar dihirupnya. Dan darah siapa pula? Darah yang perannya orang-orang kecil yang telah meletakkan sarat harapan untuk era perbangunan yang begitu mudah terpedaya dengan janji manis seperti lagu yang popular sedikit waktu dulu nyanyian Aishah, Desai mula berdesit seperti lintah.
Deringan telefon selularnya mengejutkan Desai yang masih kaku yang terus meramas wajahnya yang berminyak dan lembut itu. Bila dia mendongak sedikit melihat kuncup mulutnya, seperti dia mengingati lubang keramat parasit itu, dia teringat semula mulut yang dimiliki seekor lintah. Mindanya diterka pelbagai persoalan dan perkataan menjadi lintah terus mengasak dalam alur mindanya.
-Aku menjadi lelaki lintah? Oho!-
Adakah dia juga seperti peran CEO itu yang sekian lama menjadi lelaki lintah? Menjadi lintah yang meletakkan tahap kepercayaan peran orang-orang kecil untuk dihirup darah mereka. Desai tidak dapat menerima semua itu kerana apa yang berlaku kepadanya sesuatu yang luar biasa sifatnya. Semakin dia merenung cermin di hadapannya, semakin dia takut dengan apa yang berlaku. Menjadi lintah bukan peran CEO saja, tetapi dia sendiri yang menerima geruhnya.
-Tidak! Aku bukan penjelmaan lelaki lintah? Lelaki lintah hanya milik orang-orang besar peran dan gelarnya. Bukan orang-orang kecil seperti aku!- Gema itu terus bergema dalam rumah mewah tersebut dalam hujan malam yang mula menggila seperti penghuninya

Tiada ulasan:

Kirimkan Maklumbalas Dan Komen Anda

Name:
Email Address:

This HTML form was created by Freedback.
Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.